CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

09 August 2011

Mengapa Wajah Tidak Berseri Ketika Solat?



"Ya Allah, baru kusedari bahawa wajahku tidak pernah senyum apabila sedang berhadapan dalam majlis-Mu. Sedangkan solatku ini adalah berhadapnya aku dengan-Mu, Kekasihku. Adakah aku tidak ikhlas dalam berhadapan dengan-Mu dalam solat ini, wahai Tuhanku?

Ya Allah, beratnya wajahku BAGAI aku menanggung beban yang sangat hebat. Tiada seri dan ceria pada air muka ini. Bagai air kolam yang bertakung begitu lama. Tiada riak, bagai angin tak pernah sampai di sini. Mengapa jadi begini?


Ya Allah, bukankah aku sedang berdiri, rukuk dan sujud. Menyerahkan diri ini kepada-Mu. Kerana Engkaulah Tuhan Yang Maha Indah. Sewajarnya aku sedang menikmati keindahan-Mu ya Zul-Jalal Liwal Ikram. Bukankah wajah ahli syurga akan berseri-seri di syurga kerana dapat memandang Zat-Mu?

Ya Allah, apakah hambamu ini belum mencapai martabat ihsan? Aku belum mampu beribadat seolah-olah aku yakin Engkau melihatku atau aku seolah-olah sedang melihat Engkau? Kalau benar aku ini ihsan ya Allah, tentulah wajahku berseri-seri di dalam solat. Bukankah begitu wahai Kekasihku?

Ya Allah, sewajarnya wajahku ceria ketika patah-patah ayat suci bermesra di lidahku. Sewajarnya air mukaku kelihatan gembira ketika aku qiam, rukuk dan sujud kepada-Mu. Aku sewajarnya tersenyum dan berwajah permata kerana Engkau-lah yang sedang berada di majlis amalan cintaku.

Ya Allah, kalau hamba-Mu akan gembira dapat melihat Zat-Mu di syurga kelak, apakah aku tidak patut gembira dalam solat ini? Bukankah solat ini telah menemukan aku rapat dengan-Mu, ya Allah. Bukankah yang sedang berada di depanku sekarang ialah Engkau, wahai Kekasihku?
.
Ya Allah, aku tidak pernah menunjukkan wajah senyumku kepada-Mu ketika solatku. Aku takut kepada-Mu ya Allah kerana dosa-dosaku. Namun, hati ini sangat gembira sebenarnya kerana Engkaulah di depanku. Sebagaimana Engkau janjikan ahli syurga gembira berhadapan dengan Kekasih di dalam syurga, izinkanlah di dunia ini, dalam solat yang singkat ini, aku merasai pengalaman syurga ya Allah. Biarlah manusia lain berwajah berat menanggung beban solat, namun aku lebih rela berwajah ceria kerana kegembiraanku dapat berada dalam majlis-Mu telah mengatasi rasa takut dan berat bebanku.

Ya Kekasih para mukmin, kurniakanlah kepada kami wajah berseri-seri dalam solat ini. Kurniakanlah kami ihsan yang menjadikan kita bukan lagi sekadar rapat dengan kata-kata tetapi telah rapat menyelinap di dalam jiwa. Dunia solat yang singkat ini adalah pancaran dunia syurga. Di mana sahaja kami berada, izinkan kami melihat dengan haqqul yakin kewujudan-Mu Yang Terindah. Sesungguhnya, gembira kami telah mengatasi rasa takut ini kerana kami sedar betapa melimpah-ruahnya kasih sayang dan keampunan-Mu. Perkenankanlah cita-cita kami wahai Zat Yang Maha Suci.

credit to Kak Fazilzura

0 org suka ati: